Saturday, May 31, 2008

Variasi fabrik tudung

Variasi fabrik tudung
Oleh JOHANNA A. SOBREY

Tudung-tudung yang terdapat di Anggerik Avenue mudah digayakan dan tidak mudah berkedut.

KEPELBAGAIAN kain tudung yang ditawarkan memberi pilihan gaya kepada si pemakai. Sama ada gaya ringkas mahupun dengan lilitan yang kelihatan kompleks, tidak dinafikan pemakaian tudung menambah keayuan wanita.
Mungkin ada yang beranggapan pemakaian tudung itu sedikit remeh, namun, bagi mereka yang telah biasa, pemakaian tudung itu sebenarnya mudah dan tidak memerlukan masa.
Menyedari kegusaran dan keinginan orang ramai yang inginkan tudung bergaya tanpa komplikasi, butik pakaian dan hiasan dalaman, Anggerik Avenue yang terletak di Kompleks PKNS menawarkan pilihan istimewa.

Menurut pemilik butik Anggerik Avenue, Amnas Ibrahim, butiknya banyak memberi fokus pada tudung-tudung yang mudah dipakai dan tidak mudah berkedut.

"Malah, tudung-tudung yang disediakan oleh butik ini tidak perlu digosok dan pastinya memudahkan mereka ketika berjalan jauh tanpa menyusahkan," katanya memaklumkan butik tersebut turut membuat anak tudungnya sendiri.

Menariknya, kata Amnas, ciri-ciri tidak berkedut tudung tersebut disebabkan oleh fabrik yang digunakan.

"Mengabungkan likra dan kapas, kain tudung yang ditawarkan bukan sahaja lembut, tetapi boleh diregangkan dan sejuk ketika dipakai. Ini memudahkan tudung tersebut diolah mengikut cita rasa dan bentuk muka si pemakai," jelasnya.

Memaklumkan bahawa tudung-tudung yang dijual di butik itu sebahagian besarnya direka dan dibuat sendiri oleh pihak Anggerik Avenue dengan material diperoleh dari luar, Amnas memaklumkan bahawa corak dan rekaan mendapat inspirasi daripada tudung-tudung yang dipakai oleh wanita dari negara-negara Timur Tengah.

"Secara kasar mungkin terdapat persamaan, tetapi kami telah mengolah kain tudung itu agar ia sesuai dengan keadaan negara ini," kata Amnas.

Menjelaskan jenis-jenis tudung yang terdapat di Anggerik Avenue, kata wanita ini: "Butik ini menawarkan pelbagai jenis tudung yang sesuai digayakan mengikut gaya hidup dan cara pemakaian tudung si pemakai."

BUTIK Anggerik Avenue menawarkan kepelbagaian tudung mengikut cita rasa masa kini.

Memulakan dengan tudung Dubai, Amnas menjelaskan: "Tudung ini boleh digayakan tanpa menggunakan kerongsang dan anak tudung kerana rekaannya yang terletak dan mudah dibentuk pada wajah."

"Berbeza dengan rekaan tudung tempatan, tudung Dubai terdiri daripada dua fabrik berbeza iaitu untuk bahagian menutup kepala yang bercorak dan bahagian panjang, umpama selendang yang polos dan boleh dililitkan di sekeliling kepala sebelum bahagian hujung diselitkan di bahagian bawah dagu.

"Jika pemakai tidak mahu menyelit bahagian hujung tudung, ia boleh dilepaskan mengikut panjang hujung kain yang diingini. Selain itu, pin juga boleh disematkan di atas kepala sewaktu lilitan kali kedua bagi mendapatkan gaya yang berbeza," katanya.

Sementara itu, terdapat dua variasi tudung Anggerik iaitu tudung Anggerik dan tudung Anggerik berombak tepi.

"Tudung anggerik sesuai digayakan oleh mereka yang memakai tudung labuh dengan bahagian dalam kain dilabuhkan menutup bahagian dada. Namun demikian, ia juga fleksibel dengan bahagian labuh kain dan boleh disesuaikan mengikut cita rasa si pemakai.

"Manakala tudung Anggerik berombak tepi mudah dipakaikan dengan hanya menyarungkannya di kepala dan bahagian hadapan kain dengan lipatan berjahit yang memberikan kesan beralun apabila kain ditarik dan pin disematkan di bahagian bahu," jelas Amnas.

Tudung mini ini boleh dipakai secara terus selepas pemakaian anak tudung.

"Tudung mini boleh dipakai terus atau digayakan mengikut cita rasa si pemakai. Lebar tudung juga boleh disesuaikan sama ada pendek atau labuh," kata Amnas.

Butik Anggerik Avenue turut menyediakan pelbagai koleksi pakaian wanita dan lelaki seperti baju kurung, baju Melayu, set baju dan aksesori pengantin.

"Kami juga menerima tempahan pelbagai pakaian dan juga aksesori rumah terutama langsir dan pelbagai pakaian untuk keramaian," kata Amnas.

Harga tudung gred A yang dijual di butik tersebut adalah RM39 untuk tudung kosong selapis, manakala tudung corak selapis bernilai RM42 sehelai.

Tudung Anggerik dijual pada harga RM49 manakala Dubai (RM39 hingga RM49) sehelai. Dipetik dari : Kosmo